Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Warga China, Rohingya seronok cari emas di lombong haram

Warga China, Rohingya seronok cari emas di lombong haram

Lipis: Aktiviti perlombongan haram di Hutan Simpan Ulu Jelai, dekat sini, terbongkar susulan penahanan dua warga tempatan bersama tiga warga asing, kelmarin.


Serbuan dilakukan Unit Penguatkuasaan (UPK) Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa Zon Pahang Barat, Zahari Samsudin di Kompartmen 233 berdekatan Sungai Cheniau, Mukim Batu Yon.


Penolong Pengarah Kanan (Penguat kuasa Zon Pahang Barat) JPNP, Azmi Mohd Zain berkata, mereka yang ditahan berusia antara 30 hingga 58 tahun dan tiga warga asing membabitkan dua warga China dan seorang Rohingya.


Katanya, serbuan bersama empat anggota UPK Pahang Barat itu dilakukan selepas tinjauan menggunakan dron menemui kawasan lombong terbabit.


Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya menemui sebuah palong yang digunakan untuk melombong emas termasuk pelbagai peralatan melombong, generator elektrik dan beberapa tangki minyak.


"Turut disita dua jengkaut dan sebuah enjin pam air diesel yang digunakan untuk proses menyembur bahan galian dalam palong, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan motosikal.


"Laporan polis dibuat di Balai Polis Lipis, lima individu yang ditahan dibebaskan selepas mendapat jaminan polis oleh seorang penjamin," katanya, ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau berkata, operasi selama enam jam bermula 11.40 pagi itu turut disertai pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Lipis dan Pasukan Penguat Kuasa Unifield Pahang.


Azmi berkata, siasatan yang dilakukan mendapati aktiviti melombong secara haram dilakukan sejak sebulan lalu.


Berikutan itu kumpulan terbabit bertindak menarah tebing Sungai Cheniau sepanjang 150 meter ke 200 meter bagi tujuan mengambil dan memindahkan bahan galian sebelum melalui proses semburan di dalam palong.


"Mereka akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.

Post a Comment for "Warga China, Rohingya seronok cari emas di lombong haram"