Imam Masjid di Melaka rogol, liwat adik ipar 9 tahun sejak 2017, mengaku tak bersalah
Imam Masjid di Melaka rogol, liwat adik ipar 9 tahun sejak 2017, mengaku tak bersalah
Melaka: Imam dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas 12 pertuduhan termasuk merogol, meliwat dan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik iparnya sejak mangsa berusia sembilan tahun antara September 2017 hingga Jun lalu.
Tertuduh, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan didakwa dilakukan di rumah berasingan di Jasin, dekat sini.
Terdahulu, prosiding kes itu dijalankan berasingan di Mahkamah Sesyen 2 dan 3 di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Nariman Badruddin.
Pada prosiding pertama di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh berdepan lima pertuduhan iaitu tiga kesalahan merogol dan masing-masing satu kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii dan amang seksual fizikal ketika mangsa berusia sembilan, 10 dan 11 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada awal dan pertengahan September 2017, awal Mac 2019 dan pada 20 Julai 2019, antara 3 pagi hingga 12.30 tengah malam.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen 3, tertuduh didakwa masing-masing atas tiga pertuduhan rogol dan amang seksual fizikal serta tuduhan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada awal Mac dan September 2019, 12 Julai 2021 serta pada 29 Januari, 28 Mei dan 13 Jun 2022 pada masa berbeza antara 9 pagi hingga 4 pagi.
Pertuduhan rogol dikemukakan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.
Manakala bagi kesalahan amang seksual pula, dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) dan Seksyen 27 (1) akta sama, jika disabitkan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari dalam prosiding berasingan memohon mahkamah tidak mengenakan jaminan terhadap tertuduh atas alasan tertuduh adalah abang ipar mangsa.
Namun, pendakwaan mencadangkan jaminan RM170,000 bagi kesemua 12 pertuduhan jika mahkamah menggunakan budi bicara membenarkan tertuduh diikat jamin.
Peguam Andrew Lourdes bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung empat anak berusia 16 hingga 3 tahun dan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai penjawat awam manakala isteri tidak bekerja.
Katanya, mangsa kini berada di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Negeri Sembilan dan tiada kemungkinan kacau ganggu oleh tertuduh.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM79,000 berserta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai.
6 Oktober depan ditetapkan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen dan mendapatkan laporan perubatan mangsa.
Post a Comment for "Imam Masjid di Melaka rogol, liwat adik ipar 9 tahun sejak 2017, mengaku tak bersalah"