Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Air mata Yang Berhormat apabila melihat rakyat hidup susah

Air mata Yang Berhormat apabila melihat rakyat hidup susah

Steven Sim dilihat tidak dapat menahan air mata ketika mendengar kesedihan hidup Muadz. - Foto Facebook Steven Sim.

Kami tertarik melihat foto seorang wakil rakyat tidak dapat menahan sebak ketika membantu seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang sedang mengalami kesusahan hidup apabila motosikal Honda EX5 digunakan untuk mencari rezeki hilang dicuri.


Kisah lelaki penghantar makanan itu tular selepas dia meluahkan perasaan dan buntu memikirkan cara meneruskan kelangsungan hidup kerana motosikal tersebut adalah satu-satunya kenderaan dimilikinya sejak 10 tahun lalu.


Lelaki bernama Muadz itu tidak mampu membeli motosikal baharu dengan pendapatan sebagai penunggang p-hailing hanya kira-kira RM1,300 sebulan bagi menyara anak dan isteri.


Kaki kanan Muadz bengkok teruk selepas terlibat dalam kemalangan tahun lalu dan kini terpaksa bergerak dengan tongkat. Namun, demi mencari rezeki, Muadz gagahkan kudrat keluar bekerja.


Bertindak pantas, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong segera berjumpa bapa kurang bernasib baik itu dan membelikannya sebuah motosikal baharu jenis Honda Wave 125i.


Berkongsi cerita dan foto di Facebook, Steven Sim dilihat tidak dapat menahan air mata ketika mendengar kesedihan hidup Muadz.


Katanya, dia amat memahami hati seorang bapa yang sentiasa berusaha bersungguh-sungguh mencari nafkah untuk keluarga.


Foto pertemuan dua insan itu mendapat perhatian dan menyentuh hati netizen apabila mengenangkan pengorbanan bapa masing-masing yang berbuat apa sahaja demi anak dan isteri.


Berdasarkan kisah tersebut, kami yakin ramai wakil rakyat di luar sana yang menitis air mata mengenangkan nasib rakyat miskin dan siang malam memikirkan cara membantu.


Tidak semua kisah bantuan itu dipaparkan di media sosial atau dada akhbar. Ada pelbagai cara dan bentuk bantuan yang mereka usahakan.


Yang pasti, rakyat telah menerima bantuan tidak akan pernah lupa mendoakan wakil rakyat yang baik hati ini.


Post a Comment for "Air mata Yang Berhormat apabila melihat rakyat hidup susah"