Ku ikhlas terima dirimu, meski engkau OKU "separuh badan"
Ku ikhlas terima dirimu, meski engkau OKU separuh badan
Cheras: "Saya tidak pernah menyangka akan berkahwin, sampai ke jinjang pelamin, namun inilah yang dinamakan takdir," kata Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Muhammad Haziq Samrat.
Pemuda berusia 27 tahun itu menarik perhatian ramai selepas video majlis persandingannya bersama isteri, Nur Atiqah Amiera Ghazali, 29, tular di media sosial.
Dalam video itu, kelihatan Muhammad Haziq bergerak di atas papan selaju, beriringan dengan isterinya menuju ke pelamin untuk bersanding dan acara memotong kek.
Muhammad Haziq yang kini menetap di Bandar Tun Hussein Onn di sini berkata, video itu dirakam ketika majlis persandingan mereka di Dewan Besar Tun Rahah, Menara Yayasan Tun Razak pada 10 September lalu.
Katanya, dia tidak mengetahui ada pihak yang memuat naik video berkenaan di TikTok.
"Saya baru tahu sebenarnya dan tak sangka ia tular di laman sosial. Saya sedar ada tetamu yang mengambil gambar, video ketika datang majlis itu tapi tak sangka dimuat naik hingga tular," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Berkongsi kisahnya, Muhammad Haziq berkata, dia merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik dan menjadi OKU sejak dilahirkan.
Katanya, sejak kecil dia diasuh untuk mengutamakan pendidikan dan tidak ketinggalan hingga memiliki Diploma Multimedia dan Animasi serta Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan.
Muhammad Haziq juga tiada masalah bergaul dengan sesiapa, malah mempunyai ramai rakan normal.
"Saya terbuka dan tiada halangan berkawan dengan sesiapa baik lelaki mahupun perempuan.
"Cuma, bab pasangan itu saja yang tidak pernah saya jangka, apatah lagi terfikir sama ada perempuan mahukan saya atau tidak.
"Rupanya, ada juga yang sudi menerima diri saya seadanya dan kepercayaan itu akan cuba saya balas dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami sebaiknya, menjaga dan mendidik isteri," katanya.
Sementara itu, Nur Atiqah Amiera yang bekerja sebagai pembantu jururawat berkata, dia berkenalan dengan suaminya menerusi platform Bigo Live pada November 2020 dan tertarik dengan keperibadian lelaki itu.
"Kiranya, saya yang 'mengayat' suami dahulu pada awal perkenalan dan dia awalnya tidak suka cerita keadaan dirinya, jadi saya cuba juga kenali dia hingga pertemuan pertama kami pada 12 Disember 2020.
"Saya tidak kisah keadaannya macam mana, asalkan dia memahami dan boleh didik saya, malah keluarga juga tiada halangan serta terbuka menerima hubungan kami," katanya yang memberitahu mereka melangsungkan akad nikah pada 23 Julai lalu.
Nur Atiqah Amiera berkata, tiada istilah terpaksa menerima pasangan OKU sebaliknya, dia bersedia menjadi isteri yang menjaga kebajikan suami istimewanya sekali pun berhadapan persepsi masyarakat.
"Daripada awal saya sudah tahu keadaan suami, jadi sudah tetapkan hati dan minda untuk bersedia dengan segala kemungkinan. Insya Allah saya mahu menjaganya sehingga akhir usia kami," katanya.
Sumber: hm
Post a Comment for "Ku ikhlas terima dirimu, meski engkau OKU "separuh badan""