Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

‘Segerakan PRU, jangan bagi pembangkang ruang susun strategi’

‘Segerakan PRU, jangan bagi pembangkang ruang susun strategi’ 

 
 


KUALA LUMPUR: UMNO tidak akan memberi ruang kepada pembangkang untuk terlalu lama dalam menyusun strategi bagi menjatuhkan parti itu. 


Ini kerana, Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO masih konsisten dengan menjelaskan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) perlu diadakan segera. 


“Kita tidak akan ikut rentak pembangkang yang mahu melengahkan PRU15 agar mereka dapat menyusun strategi, mempelbagaikan propaganda, menambahkan serangan politik terhadap UMNO.


“Kita dalam arus politik perdana sangat faham akan gelagat mereka. Jangan bagi ruang seinci pun kepada pembangkang dan sekutu mereka untuk memporak-perandakan UMNO,” katanya menerusi laman sosial Facebook, hari ini. 


Tambah beliau, UMNO sebuah parti besar dan sudah lama usianya dalam politik, sekali gus menjelaskan pelbagai cabaran dan rintangan yang telah dihadapi parti berkenaan. 


“Bermakna UMNO ada tradisi, sejarah dan kesinambungan dalam negara. Ramai yang keluar parti dalam sejarah panjang. Ada yang memilih menentang UMNO  selepas itu, namun UMNO  tetap teguh walaupun badai politik bergelora.


“Mereka yang memilih keluar parti dan menentang politik, hayat politik mereka sangat pendek. Mereka umpama percikan bunga api, namun hanya seketika sahaja. Mereka akhirnya menjadi ahli politik kecewa dan berdengus penuh emosi.” jelasnya.


Penggal Parlimen semasa akan tamat pada 16 Julai 2023 dan PRU15 perlu diadakan menjelang pertengahan September 2023, tetapi sesetengah pemimpin UMNO mendesak ia diadakan tahun ini susulan kemenangan Barisan Nasional dalam beberapa pilihan raya negeri baru-baru ini.


Sumber: utusan

Post a Comment for "‘Segerakan PRU, jangan bagi pembangkang ruang susun strategi’ "